BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

20081024

Nasyid ?? Sejauh mana fungsinya.

Ku pendamkan perasaan ini,

Kurahsiakan rasa hati ini,

Merindukan kasih yang berputik,

Tersembunyi di dasar hati…

Indah mengasyikkan hati. Bagi orang yang bercinta, mendengar rangkap-rangkap lagu di atas tentunya membawa diri ke alam yang penuh dengan keindahan dan pujuk rayu cinta yang tidak terbatas.

Itulah dia mainan perasaan. Hanya yang sedang melalui saat-saat indah bersama insan yang tersayang yang sudah menempa janji sehidup semati saja yang mungkin dapat menghayati rangkap-rangkap lagu di atas dengan sepenuh hati. Apa yang pasti, anda yang selalu mengambil tahu perkembangan terkini tentunya dapat meneka dari kumpulan manakah rangkap kata lagu di atas. Sekali imbas, rasanya tidak akan ada yang mengira bahawa itu adalah satu nasyid.

Di sinilah sepatutnya kita berhenti seketika untuk merenung sejenak; ke manakah sebenarnya halatuju yang ingin dibawa oleh kumpulan-kumpulan nasyid di negara kita yang kini semakin rancak tumbuh satu persatu macam cendawan selepas hujan? Benarkah slogan dan matlamat yang dilaung-laungkan selama ini ; berhibur cara Islam? Atau sebenarnya menambahkan kelalaian masyarakat dan dihalalkan di atas nama Islam?

Kita cuba undur sejenak ke belakang merenung sejarah yang panjang dalam arena nasyid di negara kita Malaysia. Tidak keterlaluan untuk dinyatakan (dan rasanya ramai yang sependapat dalam perkara ini), nasyid mula diminati oleh masyarakat dengan kemunculan kumpulan Nada Murni sekitar tahun 1980-an. Pada masa itu, di bawah naungan pertubuhan Darul Arqam, alunan-alunan nasyid yang dibawa oleh kumpulan Nada Murni dan kemudiannya berganding bahu bersama kumpulan The Zikr keseluruhannya berkonsepkan kepada perjuangan dan pengorbanan. Tentu masih segar di dalam ingatan kita alunan-alunan yang menjadi dendangan sebahagian anak-anak muda hinggalah ke masa kini. Lagu-lagu seperti Air Mata Keinsafan, Berkorban Apa Saja, Sunnah Orang Berjuang dan sebagainya membawa kita untuk merenungi kembali tugas sebagai seorang hamba di muka bumi ini. Lebih jauh dari itu, ia sebenarnya terlalu mampu untuk menyuntik satu keinsafan. Malah kadang-kadang, lagu-lagu seperti Kegelapan Malam, Cahaya di Ufuk Timur dan yang seumpama dengannya sebenarnya membawa kita untuk merindui kembali saat-saat indah ketika Islam berada di puncak kegemilangan. Serentak dengan itu membakar jiwa dan semangat untuk memastikan kembali kegemilangan Islam berlaku sekali lagi. Tidak dinafikan, pembawaan lagu-lagu nasyid pada era itu kebanyakannya menjurus kepada menyokong ideologi pergerakan Al-Arqam atau dalam erti kata lainnya mendorong kepada penantian kedatangan Imam Mahdi. Namun, sekurang-kurangnya tidak ada unsur pemujaan kepada kekasih dan kaum wanita seperti yang ditonjolkan di dalam syair-syair Arab Jahiliyah.

Kini, beberapa ketika selepas pengharaman Al-Arqam, bekas anak-anak didiknya bertebaran ke seluruh pelusuk bumi Malaysia bergerak memajukan industri nasyid Malaysia. Dengan kemunculan kumpulan Raihan yang berjaya menggegarkan negara dengan jumlah jualan album sulungya, Puji-pujian yang mencecah angka 600, 000 unit, masyarakat mula menunjukkan minat dan kecenderungan untuk mendekati lagu-lagu nasyid. Secara zahirnya, ia adalah satu perkembangan yang cukup positif, namun ada harganya yang terpaksa dibayar. Selepas Raihan, muncullah pula kumpulan-kumpulan ang lain yang dulunya adalah dari kelompok yang sama. Mereka bergerak, berlumba-lumba dan kejar-mengejar dalam usaha menambat hati masyarakat dengan lagu-lagu nasyid (sekaligus menambah keuntungan?). Dan salah satu aktiviti yang dilakukan ialah berlumba-lumba mencipta kontroversi dengan pembaharuan-pembaharuan (sesetengah orang suka menyebutnya sebagai penyelewengan-penyelewengan) dalam lagu-lagu nasyid yang dipopularkan. Siapa tidak terkejut dengan kemunculan Brothers yang mula-mula merintis jalan menggunakan alat-alat yang selama ini dianggap asing dalam lagu-lagu mereka menerusi album Teman Sejati. Kejutan-kejutan terus dilakukan hingga ia tidak lagi merupakan kejutan. Paling menonjol ialah kemunculan Rabbani dengan lagunya Pergi Tak Kembali yang lebih mirip kepada lagu-lagu rap KRU. Mungkin Pergi Tak Kembali membawa makna tersesat jalan dan tidak mampu lagi untuk kembali ke jalan asal..?

Penghujung tahun 2000, muncullah In-Team. Percubaan yang dibawa melalui lagu Kasih-kekasih rupa-rupanya menepati target pasaran (dan sekaligus berjaya mencipta kontroversi). Kali pertama lagu yang benar-benar memuja cinta dan wanita dibawa di atas nama nasyid dan nampaknya ia diterima walaupun oleh golongan yang berpendidikan agama. Tenggelamlah sudah era lagu-lagu perjuangan dan rindukan syahid yang pernah menghiasi tema-tema nasyid sebelum ini. Dan ia tidak mungkin timbul kembali kecuali motif untuk mencari keuntungan diletakkan ke tepi. Kemunculan kumpulan nasyid Qutrunnada yang rasanya cuba untuk mengembalikan nafas sebenar nasyid khususnya melalui lagu mereka Cinta Agung nampaknya tidak berdaya untuk melawan arus. Apakah dayanya sebuah kumpulan kerdil mahu bertarung dengan kumpulan-kumpulan lain yang lebih gagah dan mempunyai nama yang lebih besar dalam industri muzik? Bagaikan Arab Saudi melawan Jerman yang terpaksa menerima keputusan kalah 8-0.

Dan selepas album kedua In-Team, Impian Kasih yang membawa mesej yang hampir sama dengan kemunculan sulung mereka, masyarakat mula diajar menerima hakikat bahawa itulah nasyid. Tidak ada bezanya dengan lagu-lagu pop yang lain. Rasanya apa yang membezakan kumpulan nasyid dan kumpulan lagu-lagu rock atau pop ialah pakaiannya sahaja. Letakkan sahaja kopiah di atas kepala, anda layakdigelarkan kumpulan nasyid! Itupun rasanya hampir dinafikan oleh kumpulan nasyid Saujana yang muncul dengan gaya selamba bersama kemeja dan seluar jean. Lalu, apa lagi yang tinggal kepada kumpulan nasyid selain Selawatnya?

Kemunculan kumpulan UNIC yang rasanya membawa tempo yang hampir sama (atau lebih berat) dari In-Team. Lahir daripada sulbi yang sama, UNIC (You And I See) membawa lagu Hanya Tuhan Yang Tahu yang kedengarannya bisa memikat hati orang-orang yang bercinta (atau baru belajar untuk bercinta). Cubalah sekali mendengarnya, ternyata ia benar-benar direka khas untuk memikat hati-hati yang sedang dibuai oleh cinta monyet. Sepatutnya kumpulan-kumpulan nasyid mengambil satu inisiatif yang berharga ; sedarkan golongan ini agar kembali menyedari hakikat kehidupan mereka di muka bumi ini sebagai seorang khalifah, atau setidak-tidaknya memberikan satu suntikan semangat untuk meneruskan pengajian. Namun sayang, nasyidlah yang seterusnya membuai dan membawa golongan ang bercinta monyet ini meneruskan ‘kemonyetan’ mereka.

Benar, cinta adalah satu keperluan. Adalah berbohong jika mengatakan bahawa kita tidak perlukan cinta dan kasih sayang dalam hidup, namun lebih berbohong jika dikatakan bahawa cintalah perkara yang paling utama dalam hidup kita. Lihatlah apabila kumpulan-kumpulan yang membawa mesej cinta seperti In-Team mengadakan konsert dan persembahan, muslimah yang bertudung dan berjubah labuhlah yang paling galak berada di depan. Kenapa? Tidak lain kerana tertipu dengan lagu-lagu yang melalaikan yang direka di atas nama nasyid!

Kita tidak ingin mengatakan dengan mutlak bahawa mendengar lagu-lagu seperti ini adalah salah, biarpun ramai ulama’ yang tidak mengharuskannya. Perbincangan kita ini tidaklah ke arah itu sekalipun alat-alat muzik ang digunakan oleh kumpulan-kumpulan nasyid pada hari ini sudah tiada bezanya dengan kumpulan-kumpulan lagu-lagu pop rock. Cuma, sekurang-kurangnya kita perlu berfikir, jika inilah halatuju kumpulan-kumpulan nasyid, kita perlu bersedia untuk kelahiran lebih banyak lagi lagu-lagu cinta dan pemujaan terhadap wanita yang menggunakan nama nasyid. Dan golongan yang akan terpedaya ialah kita ; golongan yang berpendidikan agama! Alangkah baiknya jika masa muda yang ada dimanfaatkan dengan sebaik mungkin mengukuhkan semangat dan membina jatidiri sebagai seorang pejuang sejati. Masih banyak lagi perkara utama dalam hidup ini.

Alangkah rindunya kita kepada suasana ketika nasyid pernah memberikan semangat kepada kita untuk berjuang….

2 ???:

Anonymous said...

btol2!!gue stuju banget..kdang2 tu rse pelik, knp nasyid pun m'gunakan alat muzik yg haram?? fuh..
smpaikan too phat buat lagu Alhamdulullah yg lg elok dr dorg..
lgu kasih kkasih, impian kasih, CUDIPT..nasyid ker tuh??
tp act, dngar lagu ni sndr atas kite.. kdg2 tu dgar lagu english blh ingatkn kite kpd Allah..cme b'gntung atas dr kite cmner kite nk m'hayati lagu tuh...x caye??try lah!

Anonymous said...

takut r kalu jd lalai..nauzubillah..tq kpd sespe y letak article ni..br sedar..slme ni sdr gak tapi blur sket..so, boikot in-team!!!hehehe..tpu je..